Maklum balas kerajaan Kegagalan kuasa elektrik Semenanjung Malaysia 1996

Perdana Menteri, Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan Grid Nasional kedua dan pusat pengagihan elektrik terdesentralisasi bagi memastikan pemadaman di seluruh negara tidak berulang.[25] Beliau dalam pada masa yang sama berdukacita dengan kegagalan bekalan elektrik di seluruh semenanjung, sambil menambah bahawa Tenaga Nasional tidak mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini untuk menambah baik pengurusan bekalan kuasa negara.[26][27] Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abu Hassan Omar mencadangkan TNB agar mewujudkan grid selari nasional bagi mengelak bekalan elektrik terputus di seluruh semenanjung.[28] Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi respon bahawa gangguan bekalan elektrik 15 jam di seluruh negara dianggap 'memalukan' bagi Malaysia dan tidak boleh dibiarkan berulang.[29] Beliau berkata walaupun terdapat lebihan bekalan kuasa di negara ini, akan tetapi, terdapat masalah dengan pengagihan dan penghantaran elektrik.[30] Menteri Tenaga, Telekom dan Pos Leo Moggie dilaporkan berkata beliau belum mengetahui punca gangguan bekalan elektrik dan memberi maklum balas: "Tunggu biar saya siasat dahulu,".[6] Beliau juga menambah bahawa kira-kira 5,760 megawatt kapasiti kuasa telah hilang. "Pada masa ini, kami tidak tahu apa puncanya.... Kebimbangan utama kami ialah cuba memulihkan kuasa," katanya.[10] Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz berkata kerajaan menggesa Tenaga Nasional merangka garis panduan komprehensif untuk industri tempatan bagi membolehkan mereka mengelak kesan buruk akibat kegagalan kuasa negara.[31] Ketua Menteri Pulau Pinang, Koh Tsu Koon menggesa TNB agar meneliti beberapa jenis mekanisme untuk mengasingkan kesan kegagalan loji kuasa.[32]